Elak bayi kena komplikasi batuk kokol, KKM tawar vaksin Tdap percuma buat wanita hamil

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, vaksin itu boleh didapati di semua klinik kesihatan kerajaan yang menyediakan perkhidmatan untuk ibu mengandung.

“Vaksin ini penting untuk melindungi bayi yang belum lahir daripada penyakit batuk kokol.

“Batuk kokol sejenis jangkitan yang boleh menyebabkan komplikasi serius kepada bayi terutama sebelum mereka cukup umur untuk mendapat suntikan vaksin sendiri,” katanya semasa sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan pada Isnin.

Menurut Dr Dzulkefly, kajian dari luar negara membuktikan vaksin Tdap adalah selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada ibu atau bayi dalam kandungan.

“Walaupun suntikan ini tidak wajib, kita sangat galakkan ibu hamil untuk menerimanya demi kesihatan bayi mereka,” jelasnya.

Selain itu, KKM juga menjalankan Program Imunisasi Influenza untuk warga emas yang bermula pada 18 Februari. 

Program itu menyasarkan warga berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes atau darah tinggi.

“Setakat 25 Mei, seramai 97,355 warga emas telah menerima suntikan vaksin influenza di klinik-klinik KKM,” katanya.

Dr Dzulkefly turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat mengenai vaksin daripada sumber rasmi seperti laman web KKM dan bukannya percaya kepada berita palsu yang tular di media sosial.

“Saya faham ada ibu bapa yang masih ragu-ragu. Tapi tolong rujuk kepada sumber yang betul kerana keputusan kita akan beri kesan kepada kesihatan anak-anak kita pada masa depan,” katanya.

Langkah itu adalah sebahagian daripada strategi KKM untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat perlindungan vaksin sepanjang hayat bermula dari lahir, dewasa hingga ke usia emas. — Majoriti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *