Syukur dalam rindu, pensyarah cabar diri keluar zon selesa ketika imbau kenangan di awan biru

Itu pegangan hidup Siti Nuraziah Zainal Alam, 38, yang kini bertugas sebagai pensyarah dalam bidang kewartawanan dan penyiaran di sebuah universiti swasta, selepas menamatkan karier enam tahunnya sebagai pramugari di dua syarikat penerbangan ternama.

Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), tiada siapa yang menyangka Siti Nuraziah pernah berkhidmat bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malindo Airways Sdn Bhd sejak dari 2014.

Bagaimanapun, beliau tekad membuat keputusan besar untuk meninggalkan kerjaya glamor itu demi memenuhi impian bergelar pendidik.

Malah ujar anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu, tidak pernah sekali pun terlintas di fikirannya untuk bekerja di awan biru.  

“Sejujurnya, saya tidak pernah merancang menjadi pramugari. Ketika itu saya baru sahaja tamat belajar dalam program Sarjana di UiTM. 

“Ketika itu, saya bercadang untuk terus menceburi bidang pendidikan. Namun, saya rasa kehidupan ini terlalu mengikut aturan, jadi kenapa tidak cuba sesuatu di luar zon selesa. 

“Justeru, saya tekad untuk mencuba sesuatu yang baharu dan tidak pernah terlintas di ruang fikiran iaitu menghadiri temuduga terbuka pramugari penerbangan. 

Menurut Siti Nuraziah lagi, sepanjang enam tahun berkhidmat di udara, minatnya terhadap bidang pendidikan tidak pernah padam. 

Keputusan untuk kembali ke bidang akademik dibuat dengan penuh tekad apabila beliau sedar sudah tiba masa mengejar impian sebenar.

“Saya seringkali mengingatkan diri bahawa kerjaya pramugari ini adalah salah satu bentuk eksplorasi diri dan bukan sesuatu yang mahu dilakukan selama-lamanya. 

“Jujur saya katakan, siapa tidak mahu kerjaya yang membenarkan anda untuk melancong di samping menjana pendapatan agak lumayan? 

“Namun, saya tahu ada matlamat diri yang perlu dicapai serta cita-cita asal saya iaitu menjadi seorang pendidik,” katanya lagi.

Sebagai pendidik, beliau mengakui pengalaman lalu banyak membantu, terutama dalam memahami pelajar dari pelbagai latar, membina hubungan yang harmoni serta mengurus perbezaan pandangan dengan bijak.

“Anak muda hari ini lebih berani bersuara, lebih kritikal. Pengalaman berinteraksi dengan penumpang antarabangsa banyak membantu membentuk kesabaran dan empati dalam mendidik mereka,” jelasnya.

Walaupun kini lebih selesa dengan dunia akademik, Siti Nuraziah mengakui kadangkala terbit rasa rindu melihat rakan-rakan berkongsi pengalaman penerbangan ke destinasi menarik. 

Namun jauh di sudut hati, beliau bersyukur dengan laluan yang dilalui.

“Jika faktor usia membenarkan, sudah tentu saya mahu kembali. Setiap kali melihat rakan-rakan melakukan penerbangan ke destinasi baru, kadangkala timbul juga rasa cemburu. 

“Pernah juga saya ada berseloroh dengan suami untuk pergi temuduga kerana saya rindukan suasana itu,” katanya sambil tersenyum. 

Jelas Siti Nuraziah, walaupun ramai yang masih sinikal terhadap kerjaya pramugari, terlalu banyak yang beliau belajar sepanjang berkhidmat, antaranya dari segi disiplin dan penampilan diri. 

“Kerjaya pramugari ini bukan sahaja sekadar rupa paras dan gaya sahaja, tetapi ia mendidik diri kita untuk menjadi seorang yang sangat berdisiplin, yakin diri dan berketerampilan. 

“Saya belajar banyak perkara mengenai budaya luar, cara-cara mengendali ragam manusia dan menjadi ‘people person’. 

“Saya amat menghargai pengalaman dalam bidang ini. Ia adalah salah satu pengalaman kerjaya yang menakjubkan dan tidak ada sedikit pun penyesalan yang timbul daripada keputusan untuk menceburi bidang tersebut,” katanya.

Kepada mereka yang sedang berkira-kira untuk mengubah haluan kerjaya, beliau menyarankan agar tidak terikat dengan kebiasaan.

“Jangan takut untuk mencuba dan jangan meletakkan had kepada diri. Anda tidak tahu keupayaan sehingga anda mencubanya. 

“Selagi ia tidak mendatangkan mudarat dan memberikan kepuasan, why not go for it? .Selain itu, jangan pernah rasa kerjaya yang anda lakukan itu tidak bermanfaat walaupun ia berlainan bidang. 

“Setiap kerjaya itu ada kelebihannya, dan pengalaman yang berbeza itu menjadikan anda seorang yang istimewa dan versatil,” ujarnya. 

Menutup bicara, Siti Nuraziah turut menitipkan nasihat yang amat bermakna kepada wanita, khususnya golongan remaja, agar tidak pernah mengabaikan pendidikan.

“Pendidikan adalah kunci untuk membuka setiap peluang dalam hidup. Tanpa ilmu, kita tidak dapat mengembangkan potensi diri dan menghadapi cabaran dengan bijak. 

“Bagi saya, pendidikan bukan hanya satu kewajipan, tetapi juga pelaburan terbesar untuk masa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *