Elak tukar pakaian depan anak antara 7 cara asuh, pupuk sifat malu, semuanya bermula dari rumah

Selain daripada pembentukan akhlak dan moral si kecil, sifat malu menjadi aspek penting dalam tingkah laku yang lebih berdisiplin apabila mereka meningkat dewasa kelak.

Mungkin masih ramai yang belum cakna akan kepentingan memupuk sifat itu pada diri anak namun, ketahuilah ia memberi banyak kelebihan berbanding keburukan terutamanya pada golongan perempuan.

Antara langkah awal boleh dilakukan ibu bapa ialah memupuk rasa malu dalam kalangan anak dengan menunjukkan contoh yang baik serta menjaga adab dalam aspek pemakaian, pergaulan serta privasi di rumah.

 

Perbuatan menukar pakaian secara terbuka di hadapan anak perlu dielakkan, terutamanya apabila mereka sudah mencapai usia tiga tahun ke atas.

Ini penting untuk membina kesedaran awal tentang aurat dan maruah diri.

Etika pemakaian di rumah perlu dijaga dengan gaya ketika bujang atau sebelum mempunyai anak tidak wajar dikekalkan apabila sudah bergelar ibu bapa.

Baju yang jarang atau terlampau mendedahkan aurat walaupun hanya berada di rumah boleh memberi contoh yang tidak baik kepada anak.

Lebih parah apabila ia dijadikan contoh apabila meningkat remaja yang boleh menjurus ke isu salah laku sosial.

Ibu bapa juga disarankan untuk keluar dari tandas dalam keadaan berpakaian sopan dan bukan berkemban atau hanya bertuala.

Walaupun perkara sedemikian nampak kecil, memberi kesan besar kepada pemahaman anak mengenai privasi dan adab berpakaian.

Mesra antara suami isteri tidak salah, malah boleh memberikan rasa selamat kepada anak-anak. Namun, batas perlu dijaga. Perbuatan seperti cium dahi atau pelukan ringkas boleh diterima, tetapi elakkan sentuhan yang berlebihan yang boleh mengelirukan anak kecil tentang batas pergaulan.

Ibu yang menyusu anak disarankan melakukannya di tempat tertutup atau dalam bilik, terutama jika terdapat anak-anak berusia tiga tahun ke atas.

Ibu menyusu khususnya boleh memberi pesanan seperti, “ummi nak menyusu adik dalam bilik ya.”

Biarpun kelihatan ringkas, ia mampu membantu anak faham tentang adab dan hormat kepada ibu bapa terutamanya dalam hal berkaitan privasi.

Jika situasi memerlukan ibu atau ayah mandi bersama anak kecil, anda digalakkan menggunakan kain basahan atau pakaian mandi yang sopan.

Amalan ini boleh mendidik anak menghargai batas aurat sejak dari awal selain mendidik si kecil tentang batasan dalam pemakaian.

Pendedahan kepada rancangan televisyen tidak senonoh di kaca televisyen seperti adegan peluk, cium atau pakaian menjolok mata perlu dielakkan segera.

Tontonan sedemikian, walaupun dianggap biasa oleh orang dewasa boleh memberi kesan negatif kepada anak yang sedang membina pemahaman terhadap dunia sekeliling.

Mendidik perasaan malu dalam diri anak bukan bermakna menakut-nakutkan mereka, sebaliknya menanam nilai sopan, hormat dan tahu batas yang betul dalam pergaulan serta tingkah laku.

Justeru, dalam dunia yang semakin terbuka dan penuh pengaruh luar, ibu bapa perlu menjadi benteng pertama dalam membentuk nilai dan adab anak-anak.

Perasaan malu yang berpada bukan sahaja menjaga maruah diri, malah menjadi asas kepada keperibadian mulia serta hormat terhadap orang lain kerana itulah yang akan membentuk keperibadian mereka kelak. — Majoriti

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *