Namun, virus atau kuman tidak mengenal keluarga, ia boleh merebak dengan pantas ke dalam badan.
Tabiat itu juga berisiko menyebabkan jangkitan terutama penyakit berjangkit seperti Hepatitis C, jangkitan kulit, mulut dan sebagainya.
Terdapat beberapa alat peribadi termasuk keperluan harian dan mandian yang tidak digalakkan untuk dikongsikan.
Berkongsi tuala mandi yang sama berisiko untuk menyebarkan kuman dan bakteria pada kulit.
Menurut Perunding Dermatologi, Dr Saadiah Sulaiman, ia juga boleh menyebabkan jangkitan kudis buta.
Katanya, jangkitan itu juga disebabkan oleh kutu halus yang dikenali sebagai Sarcoptes scabiei.
Kutu halus tersebut akan menetaskan telur di kawasan kudis buta sebelum menjadi ulat yang kemudiannya menjadi punca kepada serangan ekzema dan pelbagai lagi kondisi kulit yang lain.
Pelbagai jenis kuman di dalam mulut boleh merebak menerusi ubat gigi, darah, bakteria dan air liur.
Menurut seorang pakar pergigian di Malaysia, Dr. Azila Mohd Kasim, berkongsi berus gigi adalah tidak jauh berbeza dengan ciuman mulut.
Tetapi, jika pasangan atau ahli keluarga anda mendapat jangkitan virus, berus gigi tersebut mungkin menjadi punca penularan virus.
Katanya, terdapat lebih dari 700 spesies bakteria yang boleh tinggal dalam mulut, tetapi seorang lebih cenderung mempunyai sekitar 200 spesies bakteria yang tinggal di mulut mereka bersama dengan beberapa kulat dan virus.
“Bukan semua bakteria jahat. Banyak daripada mereka juga baik untuk kita.
“Sebilangan besar ini tidak berbahaya dan sebenarnya mungkin bermanfaat dalam beberapa cara,” katanya.
Bakteria yang biasa dijumpai di dalam mulut yang boleh membahayakan adalah Streptococcus mutans (sering dikaitkan dengan kerosakan gigi) dan Porphyromonas gingivalis dan Treponema denticola (berkaitan dengan penyakit gusi).
Berkongsi pakaian seperti baju atau seluar pastinya sering dilakukan terutama sesama ahli keluarga.
Bagaimanapun, ia tidak digalakkan bagi kategori pakaian dalaman seperti seluar dalam atau pakaian dalaman wanita.
Sama seperti tuala, pakaian dalaman juga berisiko menyebarkan virus malah ia lebih berbahaya kerana ia dipakai pada alat sulit.
Selain itu, pisau cukur juga perlu dielakkan untuk digunakan secara bersama meskipun sudah dicuci.
Berdasarkan perkongsian pakar kesihatan di Hello Doktor, mencukur bertujuan untuk membuang sel-sel kulit mati, kotoran dan bakteria pada kulit anda.
Oleh kerana menggunakan bilah boleh menyebabkan luka dan lecet, perkongsian pencukur juga boleh menyebabkan penyebaran penyakit bawaan darah seperti hepatitis B, hepatitis C, atau HIV.
Nampak kecil, namun siapa sangka berkongsi pengetip atau pemotong kuku mampu memudaratkan diri anda.
Hal ini kerana ia digunakan pada kuku yang terdedah kepada bakteria, kulat, dan ketuat yang mungkin tersembunyi.
Walaupun anda meminjam peotong kuku daripada seseorang yang mempunyai kuku yang sihat, anda juga masih berisiko jangkitan.
Anda juga berisiko mendapatkan jangkitan kuku kulat, HIV, atau hepatitis B jika berkongsi pemotong kuku yang sama dengan orang lain.
Barangan peribadi seperti alat solek terutama yang digunakan pada kawasan mata tidak digalakkan untuk dikongsi.
Berdasarkan kajian Agensi Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA), alat solekan selamat daripada pencemaran sebelum beberapa kali penggunaanya.
Menurutnya, kuman yang berada pada kulit anda kemungkinan boleh merebak dan membiak pada alat solekan.
Ia juga boleh menyebabkan jangkitan kuman berlaku pada kelopak mata seterusnya menyebabkan keradangan dan gangguan penglihatan sekiranya berkongsi dengan orang lain. — Majoriti