Trend tudung bawal hangat sepanjang 2025, ini 6 jenama tempatan paling menyerlah

Daripada warisan tradisi, tudung bawal kini bertransformasi menjadi simbol gaya hidup moden yang praktikal, bergaya dan versatil untuk pelbagai acara, sama ada untuk penampilan kasual harian mahupun majlis istimewa.

Perkembangan industri tudung tempatan turut menyaksikan kemunculan pelbagai jenama dengan pendekatan tersendiri.

Ada yang mengetengahkan motif floral yang lembut dan feminin, manakala ada juga yang memilih gaya minimalis dengan rekaan polos serta potongan kemas.

Jenama Tudung Ruffle yang mula diperkenalkan pada tahun 2014 berjaya membina reputasi sebagai nama yang konsisten dalam menghasilkan rekaan tudung bawal yang digemari ramai.

Bermula dengan koleksi polos, jenama tersebut kini hadir dengan motif floral halus dalam pilihan warna pastel serta tona yang lebih berani.

Material yang selesa dan mudah digayakan menjadikan jenama ini pilihan pelbagai peringkat usia, daripada pelajar hingga wanita bekerjaya.

 

Jenama Top Hijab memperkenalkan konsep praktikal menerusi rekaan tudung bawal ‘instant’, iaitu tudung yang boleh terus disarung tanpa memerlukan pin atau lilitan rumit.

Walaupun popular dalam kalangan pengantin yang mencari gaya ringkas namun elegan, jenama ini mengekalkan pendekatan minimalis dengan rekaan polos yang mudah dipadankan dengan pelbagai jenis busana.

 

Sama seperti Top Hijab, Pizza Scarf turut menjadi pilihan utama dalam kalangan pengantin. Jenama ini memberi tumpuan kepada penggunaan fabrik berkualiti tinggi dan potongan yang kemas.

Nama Pizza Scarf diinspirasikan daripada potongan tudung yang menyerupai hirisan pizza, memberi ruang kepada si pemakai untuk memilih panjang labuh yang diinginkan.

Struktur tudung yang rapi serta jahitan yang teliti menjadikannya sesuai digayakan dalam pelbagai suasana, sama ada santai atau formal.

Diasaskan oleh personaliti media sosial Asyalliee Ahmad, jenama Asyalliee memperkenalkan rekaan tudung bawal bermotif floral dan geometri yang unik.

Koleksinya menampilkan pilihan warna neutral dan rona merun yang elegan.

Pendekatan pengasasnya yang sering berkongsi proses rekaan di sebalik tabir turut menyumbang kepada populariti jenama ini di platform digital.

Tidak hairanlah koleksi mereka kerap menjadi tular dalam kalangan pengikut setia.

 

Jenama Zoe Arissa mengekalkan identiti minimalis yang menjadi DNA syarikat, namun tetap menyelitkan unsur corak floral dalam beberapa koleksi tudung bawalnya.

Penggunaan fabrik ringan dan warna-warna lembut menjadikan koleksi ini sesuai untuk gaya kasual harian mahupun urusan kerja.

Menariknya, tudung bawal Zoe Arissa turut dipasarkan di rangkaian kedai D.I.Y., sekali gus menyediakan pilihan bergaya pada harga mampu milik untuk wanita dari pelbagai latar belakang.

Sebagai jenama baharu yang pantas meraih perhatian di media sosial, Harirose mengetengahkan rekaan tudung bawal yang penuh ekspresi dan keberanian.

Koleksinya menampilkan motif floral berskala besar dengan gabungan warna terang dan berani, menarik perhatian generasi muda yang gemar tampil berbeza.

Vibe ala vintaj serta strategi pemasaran yang kreatif menjadikan jenama ini semakin mendapat tempat khususnya dalam kalangan Gen Z. — Majoriti

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *